SAYA MAHU MASUK SYURGA BERSAMA KAMU 'SAHABAT'

Artikel ini ditulis sewaktu saya sangat rindukan sahabat-sahabat saya. Saya rindukan mereka yang telah pergi jauh dari saya untuk menuntut ilmu, mencari kehidupan dan masa depan yang terbaik untuk diri masing-masing. Mengenang mereka, membuatkan saya teringat pada kamu semua.

Alangkah indahnya jika kita dapat sama-sama melangkah dan memimpin tangan satu dengan yang lain sambil memasuki syurga Allah SWT. Akhirnya, saya temui juga faktor yang sangat kuat untuk hati ini menyeru kalimah Allah kepada kalian. Walaupun pahit yang ditelan apabila kata-kata tidak diterima, usaha tidak dihargai, pelajaran merosot dan pelbagai lagi dugaan yang Dia datangkan untuk menguji keimanan hambaNya yang lemah ini, saya kuatkan semangat untuk mengharunginya.

Hidup ini singkat dan hanya senda gurau sahaja. Sedarlah kalian tentang kehidupan yang kekal abadi di akhirat kelak. Sekejap sahaja lagi kita akan ke sana. Melihat kematian di sekeliling kita, benar-benar mengundang keinsafan pada diri ini. Tak lama lagi pasti saya juga akan mengekorinya, cuma tak pasti samada baikkah di akhirnya, atau sebaliknya.

Kalau boleh, saya pinta kalian lapangkanlah dada untuk menerima dakwah ini. Marilah kita sama-sama mengejar redhaNya dalam kehidupan ini. Semoga dengan rahmatNya, kita boleh sama-sama memasuki syurgaNya pula…insyaAllah…

Langkah kaki ini juga pernah terpesong sebelum ini. Pernah juga tersilap jalan. Saya juga masih berusaha untuk berjalan lurus. God gives us no power to change the past, but He gives us options on how we destined our future. Yang berlalu biarkan berlalu, kita coraklah hidup kita yang mendatang dengan lebih baik. Sejarah buruk itu bukanlah untuk diulang, tapi untuk dielak daripada berulang.

Rasa terbeban dengan dosa itu memang perlu, untuk kita sentiasa merasakan diri ini lemah dihadapanNya. Tapi janganlah kita membiarkan rasa itu menghalang kita untuk beramal di jalan dakwah ini. Kerana sesungguhnya mengenangkan dosa yang banyak terbeban itulah, saya memilih jalan ini. Jalan untuk saya memperbanyak amal, jalan untuk saya menebus kembali kesalahan-kesalahan lampau, jalan untuk saya mencari redha dan cintaNya. Saya juga seperti kamu, malah mungkin lebih teruk daripada kamu. 

Biarlah segala yang telah berlalu menjadi rahsia antara saya dengan Allah Yang Maha Mengetahui segala-galanya. Tapi, itulah kekuatan untuk saya memperbanyak amal kini, sebelum dijemput untuk bertemuNya. Saya yang kesuntukan masa kerana mungkin telah separuh atau mungkin telah 3suku telah digunakan untuk perkara yang tidak sepatutnya.

Mungkin banyak hati-hati yang telah saya lukakan apabila kesibukan itu memenatkan saya, memuramkan wajah saya, menghilangkan masa saya untuk bersama kamu. Maafkanlah saya. Sedaya upaya, saya ingin tunaikan hak kamu sebagai sahabat saya, tapi jika itupun tak mampu saya tunaikan, hanya doa saya mengiringi kamu semua. Sebab tu saya nak bersama-sama kamu di syurga. 

Agar kita dapat habiskan masa lebih lama untuk berborak dan berbual mesra. Semoga di sana nanti, kita dapat saling menzirahi rumah masing-masing di syurga-syurga yang berbeza. Moga di sana nanti, kita dapat bermandi-manda di sungai-sungai yang indah. Moga di sana nanti kita dipertemukan dengan insan agung, Nabi Muhammad SAW.

Tegakkanlah Islam dalam dirimu, barulah Islam akan tertegak dibumimu. Marilah kita sama-sama betulkan langkah kita. Marilah bersama-sama kenali diri kita. Marilah bersama-sama kenali pencipta kita. Semoga syurga itu menjadi tempat untuk kita reunion kembali suatu masa nanti. Tempat untuk kita mengenang saat-saat indah suka dan duka kita di SEK. KEB TOK JIRING, di KOLEJ ISLAM SAINS TERENGGANU (IMTIAZ K.BERANG), di SEK. MEN. TEKNIK TERENGGANU, dan lain-lain.

Sahabat,

Kadang-kadang langkah kaki saya juga pernah tersasar. Terpesong dari tujuan yang asal. Saya harap di kala itu, kamu dapat menarik saya kembali ke jalan yang lurus ini. Kamu pun nak masuk syurga bukan? Saat saya terleka nanti, berilah peringatan kepada saya. Saya harap saat itu nanti, kamu juga dapat memandang saya dengan penuh kasih-sayang. Dengan penuh rasa berharap untuk melangkah ke syurga bersama-sama saya. Tolong jangan tinggalkan saya terumbang-ambing saat itu. Tolong betulkan saya.

Sahabat,

Pandanglah mereka disekelilingmu dengan pandangan kasih-sayang. Kasih seorang manusia terhadap manusia lain. Janganlah dipandang hina mereka atas perbuatan buruk mereka, kerana mungkin mereka tidak mengetahuinya. Kitalah yang tahu bertanggungjawab untuk menyampaikan suruhan Allah SWT kepada mereka. Bertanggungjawab untuk menyampaikan kata-kata rasulullah SAW kepada mereka. Sebab, kita pun nak masuk syurga dengan mereka. Bersungguh-sungguhlah dalam dakwahmu, dakwah yang akan menyelamatkan kita dan mereka dari azab Allah SWT yang tersangat dahsyat.

Sahabat,

Bersyukurlah apabila ada yang menegur perbuatan buruk kita. Kerana masih ada yang sayang pada kita. Kerana mereka nak masuk syurga dengan kita. Janganlah bersangka buruk terhadap mereka kerana sesungguhnya, mereka hanya inginkan yang terbaik buat kita di kehidupan kekal abadi kelak. Merekalah sahabat-sahabat yang akan memimpin tangan kita untuk ke syurga bersama-sama nanti. Berterima kasihlah kepada mereka.

Sahabat,

Saya nak masuk syurga dengan kamu.

Saya nak masuk syurga dengan kamu.

Saya nak masuk syurga dengan kamu.

Jomlah kita amalkan ajaran Islam yang sebenar. Jomlah kita taati Allah dan rasulNya. Jomlah kita perbanyak amal kita sementara masih ada. Jomlah kita menjadi kekuatan satu sama lain untuk terus berada di jalanNya.
Akhir kata, saya sayang kamu semua. Doakanlah kebaikan untuk saya di dunia dan akhirat. Kamu juga akan sentiasa dalam doa-doa saya. Sebab, saya nak sangat masuk syurga dengan kamu!!

 khas untuk sahabatku

4 comments:

fyy mokhtar said... Reply To This Comment

DIN :) AMBOI SEMANGAT NYE. AKU MAHU MASUK SYURGA. SATU STETMEN YANG BERANI. PANJANGG NYEE. TAPI FYKA BACE SAMPAI HABIS :) TERINGAT KAT SAHABAT FYKA GAK :)

أحمد شرف الدين said... Reply To This Comment

thanks incik fyka..hahaha...

Unknown said... Reply To This Comment

:)

lurim said... Reply To This Comment

sabda Nabi SAW " Sahabat yang baik seumpama penjual minyak wangi, biarpun kamu tidak membeli minyak wanginya, sekurang-kurangnya kamu mendapat tempias bau minyak wangi yang dijualnya. Sebaliknya, sahabat yang jahat seumpama tukang besi, kalaupun tidak terbakar baju kamu akibat api besi yang diketuk, sekurang-kurangnya kamu mendapat tempias bau hangitnya".

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...